KALAMULLAH

MUTIARA HADITH

" Dalam riak wajah ada pancaran dakwah.Dalam tutur bicara ada gema tarbiah.Dalam gerak langkah ada semangat mujahidah.
Kita lupakan wajah yang layu, kita tinggalkan bicara yang pilu, kita kuburkan langkah yang lesu.
Bangkitlah perjuangan!
Tatkala yang haq mendabik megah, dan kebatilan akur menyembah...Allah tahu kita pernah menyeka peluh dan air mata demi Islam tercinta”


TEGUHKAN KEIMANAN, TETAPKAN PENDIRIAN.

SEMOGA TERUS THABAT DALAM PERJUANGAN.

Wednesday, May 19, 2010

DERITA HATI SAHABAT...BERSABARLAH!



Sahabat,
Betapa aku mengerti penderitaan yang kau alami,
Kau ditohmah dibuang ketepi,
Ucapan nista berbau benci di mulut insan yang tidak punya hati,
Hatimu hiba menangis sendu menyepi sendiri,
Tubir mata tak mampu menampung kini,
Air mata turun tak berhenti,
Hatiku turut tersayat mengenang nasib sahabat dikeji .
Di mata insan kau dibenci kerana perbuatan lalu yang mereka sendiri tidak pasti,
Kerana kebenaran belum merajai,
Dihijab kebatilan megah berdiri,
Bila tiba waktu yang dijanji Illahi,
Kebatilan akan tersungkur rebah menyembah bumi.

Sahabat,
Panjatkan doa supaya derita berakhir di suatu hari,
Dan kata nista terus menyepi .
Usah kau bersedih perbuatan insan ke atas diri,
Kerana di hadapan Allah pun mereka menyombong diri,
Angkuh dan memungkiri janji,
Apatah lagi sesama insani.
Berdoalah mereka diberi taufiq dan hidayah yang hakiki,
Maafkan mereka yang mengeji kerana mereka insan yang tidak mengetahui.
Ujian menekan menguatkan diri,
Memantapkan peribadi Mukmin sejati,
Usah dikesali atas apa yang terjadi,
Kerana sudah suratan Illahi.
Redhalah dirimu cekalkan hati tenangkan sanubari,
Membongkar kalam suci Illahi di persada getir ini,
Bersujud atas hamparan sejadah tika dini hari,
Meminta mengukuhkan kaki,
Melalui ranjau penuh bisa berduri,
Merahmati hidup yang sementara ini,
Dan menjadi hamba sejati,
Nescaya kau temui ketenangan hakiki.

Sahabat,
Aku sesal kerana tidak tidak mampu membantumu
Menyelongkar kebenaran yang tersembunyi,
Berdiri di sisi memangkah hujah yang membuta tuli,
Melenyapkan tuduhan tanpa mendasari,
Namun doaku sentiasa mengiringi langkah sahabat di titian perjuangan ini...
Ya Allah rahmati sahabatku ini...
Tetapkan hatinya untuk terus bersabar menghadapi cubaan ini...

(Dari sahabat untuk sahabat)

Tuesday, May 18, 2010

PROTOKOL DOA

Bismillahirrahmanirrahim...

Kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Agung kerana kita masih hidup dalam nikmat iman dan Islam yang indah walaupun cabaran dan dugaan silih berganti harus dihadapi demi meneruskan kelansungan hidup ini, berjuang meningkatkan iman di hati yang ada pasang surutnya dan bertempur dengan nafsu sendiri.Pada jalan mana pun kita telusuri, syaitan ada di situ bagi melaksanakan sumpahnya di hadapan Allah bagi menyesatkan bani Adam. Semuanya akan dapat dihadapi berbekalkan dengan ilmu, taqwa dan amal.InsyaAllah...Di samping itu, teruskan berdoa merendahkan seluruh jiwa dan raga kita memohon kecekalan dan ketabahan daripada Allah Yang Maha Berkuasa.Bukankah, doa itu merupakan senjata Mukminin...?

Sesuatu yang menarik ingin ana kongsikan bersama sahabat-sahabat tentang sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang dan bersikap acuh tak acuh terhadapnya.Izinkan ana menggamit perhatian sahabat-sahabat tentang PROTOKOL DOA.



Sebagai hambaNya, kita memang tidak dapat lari daripada sentiasa memohon an-nusroh (pertolongan) Allah swt dalm segala aspek hal yang kita lakukan. Sebesar manapun ego yang menggunung,kita tetap kembali melutut di atas hamparan sejadah. Baik memohon keampunan, diberikan ketenangan hati, diringankan segala bebanan/musibah mahupun meminta pilihan yang terbaik daripadaNya.Namun, lantaran kita berdoa dengan cara yang tidak tepat atau tidak memenuhi protokol doa, kita sering menyalahkan Allah kerana tidak memperkenankan permintaan kita.Oleh itu sahabat, setelah kita memperoleh ilmu ini, ayuh kita beramal!

Protokol doa merangkumi :
1. Tawasul
2. Khusus
3. Sebab atau alasan
4. Tawasul
5. Pasrah

1.Tawasul :

Sebelum memohon perlulah memuji Allah SWT. Allah suka dipuji. Sesungguhnya memang berhak Allah dipuji kerana rahmat yang Allah berikan kepada kita ini tidak mampu ditandingi.

2. Khusus :

Kebiasaan doa adalah terlalu umum seperti, “Ya Allah murahkanlah rezekiku”. Kita menganggap Allah mengetahui apa yang kita inginkan walaupun hakikatnya Allah memang mengetahui.

Tetapi sifat kita ini tidak bersungguh di dalam memohon lalu untuk memudahkan diri kita, kita meminta secara umum. Apabila kehendak dan keinginan kita tidak dimakbulkan, kita menyalahkan Allah. Sedangkan kita lupa doa kita adalah memohon kepada Allah agar murahkan rezeki. Maka nikmat kehidupan dan masih bernyawa juga merupakan salah satu rezeki.

Di dalam memohon semestinya mempunyai protokol yang tersendiri iaitu;

SMART

1. Specific (khusus)
2. Measurable (boleh dikira)
3. Achievable (mampu dicapai)
4. Realistic (Realistik)
5. Timeline (Tempoh masa)

Di dalam berdoa, kita perlu khusus. Jika ingin meminta duit, sebut sahaja berapa jumlah yang kita inginkan. Jika kita mempunyai 10 keinginan, sebutkan satu persatu tetapi mesti SMART.

Jika kita ingin pergi menunaikan haji hujung tahun ini sedangkan wang yang terkumpul hanya RM100 , adakah ia SMART? Walaupun bukanlah mustahil kita mampu mencapai tujuan tersebut tetapi seboleh-bolehnya biarlah ia adalah 'Achievable' dan 'Realistic' di dalam 'Timeline' yang kita inginkan.

Sebagai contoh, jika sahabat-sahabat mula mengumpul RM100 untuk pergi menunaikan haji mulai bulan ini dan bercadang untuk menunaikan haji 2 tahun lagi, kemudian sahabat kini sedang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan juga mempunyai sumber pendapatan dari pelbagai sumber, maka ia boleh dikatakan SMART. Hanya sahabat yang tahu samada apa yang sahabat inginkan itu memenuhi SMART atau tidak.

3. Sebab atau Alasan :

Di dalam berdoa, kita perlu ada alasan. Mengapa kita inginkan sesuatu itu. Contohnya jika kita ingin pergi haji, kita perlu beri alasan kenapa kita ingin pergi haji. Walaupun Allah memang mengetahui tetapi jika kita beritahu Allah, maka sebenarnya diri kita akan lebih bersemangat untuk berusaha mencapai tujuan itu dengan bersaksikan Allah yang mendengar sebab dan alasan kita.



4. Tawasul :

Di dalam setiap doa, kita hendaklah menyelanginya dengan tawasul. Kita boleh menggunakan firman-firman Allah untuk mengukuhkan permohonan kita seperti berkata;
“Ya Allah, bukankah Engkau berfirman jika aku berdoa, pasti Engkau makbulkan ya Allah”

Inilah tawasul yang dimaksudkan di protokol ke-4 ini.

5. Pasrah :

Menyerahkan 100% kepada Allah doa yang telah dipohon. Jangan tertanya-tanya, bilakah Allah akan makbulkan ini, bilakah Allah akan memberi rezeki ini, bilakah Allah nak buat itu dan ini. Pasrah bermakna bukan tidak melakukan apa-apa kerja atau usaha, tetapi pasrah menerima samada dimakbulkan atau tidak. Keizinan Allah di dalam permohonan kita diberi tanpa kita sedari.

Yang pasti kita hendaklah terus berusaha dan insyaAllah jika Allah mengizinkan pilihan yang kita buat itu, maka dimudahkan kita di dalam segala urusan.

Perniagaan kecil-kecilan kita semakin membesar. Jika kita belum pandai berdoa dan cara mengerjakan haji, ada sahaja jalan ke arah itu yang Allah akan berikan. Contoh di atas adalah satu contoh iaitu hajat mengerjakan haji. Namun protokol itu sama untuk memohon apa sahaja keinginan dan hajat. Kita manusia yang lemah di mana sentiasa mempunyai hajat walaupun hajat yang kecil.

Biasa dengarkan sahabat... HIDUP INI PENUH DENGAN PILIHAN.

Masalah utama kita tidak tahu apa akan terjadi walaupun sesaat ke hadapan. Sebab itulah kita memerlukan Allah SWT yang maha mengetahui agar dapat memberi panduan kepada kita agar pilihan yang dipilih merupakan yang terbaik di sisiNya. Setiap yang terbaik disisi Allah pasti terbaik untuk diri kita.

Elakkan berdoa seperti mengarahkan Allah melakukan kerja seperti, “Ya Allah murahkanlah rezeki aku” atau “Ya Allah, panjangkanlah umur aku”. Bukankah bunyi doa itu seperti mengarahkan Allah melakukan kerja. Seharusnya doa yang baik adalah dengan meminta permohonan.



“Ya Allah, Yang Maha Pemberi, Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Kaya. (Tawasul)….Aku memohon kepadaMu ya Allah agar aku dimurahkan rezeki …. (sambung dengan permohonan yang khusus)….(beri alasan kenapa memohon)…. Aku ini lemah ya Allah, aku perlukan pertolongan diriMu ya Allah. ….ya Allah Jika keinginan aku ini baik ya Allah, aku memohon agar Kau makbulkan permohonan aku ini ya Allah. Bukankah Engkau berfirman, jika aku berdoa kepada Engkau, akan Engkau makbulkan permohonanku ya Allah (Tawasul). Tetapi ya Allah, jika ini bukan sesuatu yang terbaik disisiMu ya Allah, maka buangkan keinginan ini dari hati aku ya Allah. Agar aku tidak akan mengingati keinginanan ini lagi ya Allah. Agar aku sentiasa tenang ya Allah. (Pasrah)….. ya Rahman, Ya Rahim. Amin".

Ini adalah satu contoh doa yang ringkas mengikut protokol doa. Sahabat-sahabat boleh menyusunnya semula dengan lebih baik dengan tawasul yang lebih banyak. Doa yang umum tidak melihatkan kita bersungguh di dalam mendapatkan sesuatu. Maka susunlah doa mengikut protokol doa yang dinyatakan. Semoga segala hajat, impian, keinginan, cita-cita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.InsyaAllah...
Di bawah ini disertakan sekali susunan doa untuk kekasih (fahami erti kekasih yang sebenar) sebagai panduan berdoa. Susunan doa ini adalah yang terbaik (bukan ana yang susun). Bacalah untuk sekali. InsyaAllah akan terasa ketenangannya. Sahabat-sahabat boleh mengubahnya bagi memohon hajat lain yang tertentu. Namun, harus diingatkan lagi...setiap doa mesti mengikut protokol.

"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah, Seandainya telah engkau catatkan Dia milikku, tercipta buatku… Satukanlah hatinya dengan hatiku. Titipkanlah kebahagiaan antara kami agar kemesraan itu abadi. Ya Allah Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi, Seiringkanlah kami melayari hidup ini, Ke tepian yang sejahtera dan abadi. Maka jodohkanlah kami. Tetapi ya Allah, Seandainya telah engkau takdirkan...Dia bukan milikku bawalah dia jauh dari pandangan ku. Luputkanlah dia dari ingatanku dan peliharalah aku dari kekecewaan. Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti, Berikanlah aku kekuatan menolak bayangannya jauh ke dada langit dan hilang bersama senja yang merah agarku sentiasa tenang walaupun tanpa bersama dengannya. Ya Allah yang tercinta, pasrahkanlah aku dengan takdirMu. Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan adalah yang terbaik buatku. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-Mu ini. Ya Allah… Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku di dunia dan di akhirat. Dengarlah rintihan dari hamba-Mu yang dhaif ini. Janganlah engkau biarkan aku bersendirian di dunia ini mahupun di akhirat, menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran. Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup ke jalan yang Engkau redhai. Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah. Ya Allah, berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka. Amin. Ya rabbal ‘aalamiin".



(Sumber artikel adalah dari web iluvislam. Ana telah edit sikit.)

Monday, May 10, 2010

AKU RELA

Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta, aku terpaksa

Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…

Biarku tanggung rasa derita
Asalkan agama, selamat akhirnya
Yang membantah, hanya berfalsafah
Kerana bimbang suapan harian

Dengan menjual nama Tuhan
Lalu kebenaran disingkirkan
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya

Redha telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini
Aku bahagia

Kerana pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga...

(Aku Rela-Algebra)

YANG BENAR TETAP BENAR



Berkata benarlah walaupun sukar
Kerana pada yang benar adanya sinar
Yang benar tidak boleh diganti tukar
Sekalipun cuba disangkal oleh yang pakar
Sekalipun ada yang bersikap hambar
Kerana yang benar itu benar...

Hantarlah bicara yang benar
Agar mengalir ke setiap alur dan datar
Ke hutan belukar dan paya terbiar
Ke desa yang pudar dan bandar yang besar
Kerana yang benar itu benar.

Nyatakan yang benar
Di daerah yang hampar
Di kota mekar di akhbar tersiar
Juga di tv dan radio terpancar
Untuk si miskin yang terlantar
Dan si kaya yang tersandar
Cakaplah yang benar walaupun tidak dibenar

Sekalipun disanggah tegah disambar kasar
Kerana TuhanMu adalah Tuhan Yang Maha Benar
RasulMu adalah obor sabar cahaya sinar
Buat yang benar ,maka YANG BENAR TETAP BENAR
Berkata benarlah walaupun sukar kerana yang benar adanya sinar...

(Yang Benar Tetap Benar-Algebra)