Dalam kitab At-Tarbiah fil Islam karangan Muhammad Qutb, di antara kaedah pendidikan yang diterapkan di dalam agama kita ialah melalui kaedah kebiasaan. Apabila suatu perkara itu sudah dibiasakan, maka secara perlahan-lahan; penerimaan terhadap suatu hukum-hakam itu akan mula disenangi, biarpun pada asalnya agak sulit.
Tetapi akan timbul persoalan; bagaimana untuk berhadapan dengan golongan yang masih belum memahami syari'at secara menyeluruh. Pendek kata, jika terdapat sekumpulan pelajar muslimah yang masih enggan untuk memakai stokin; apakah kaedah penyelesaiannya? Mungkinkah berkonfrontasi merupakan jalan yang terbaik?
Di sinilah letaknya metodologi tarbiah yang lebih aula' (utama) berbanding menerusi kebiasaan, yakni;
1. Qudwah hasanah
Menampilkan contoh yang baik bukan hanya dengan menjadi 'model' yang memakai stokin. Sebaliknya, tonjolkan akhlak yang murni terutamanya apabila berhadapan dengan kumpulan ini. Usah terus dimarahi apatah lagi dimaki hamun; nilai mazmumah yang ditunjukkan akan menyebabkan individu-individu ini semakin 'jauh hati' dengan keindahan Syari'ah Islamiah. Qudwah hasanah, jika benar-benar difahami, dihayati dan diamalkan bakal membawa kesan yang mengagumkan. Lihat saja pada da'wah Rasulullah s.a.w berpaksikan peribadinya yang mulia.
2. Nasihat yang baik
Berilah teguran dengan sebaik mungkin. Nasihat yang disampaikan biarlah sampai meresap ke dalam hati. Ucapan yang bernada lembut, tetapi tegas merupakan saranan yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an; bil haq, bil sabr (rujuk surah Al-'Asr) dan bil marhamah (rujuk surah Al-Balad).
Tidak dinafikan, ada di kalangan sahabat yang menyampaikan teguran dalam etika yang lebih 'keras' dan 'ekspresif'. Antara contoh yang terkemuka ialah Saidina Umar Al-Khattab. Namun, dalam menyantuni pelajar yang kurang memahami ajaran Islam; sebaiknya dimanfaatkan kaedah yang lebih lemah-lembut. Sampaikan mesej dalam keadaan tersenyum dari berwajah masam.
Menekankan perkara yang lebih aula'
Biarpun kaki dikatakan sebagai aurat bagi wanita (menurut beberapa mazhab); adalah dicadangkan agar ditekankan terlebih dahulu perkara-perkara yang lebih penting. Kenyataan ini diaplikasikan khusus buat pelajar-pelajar perempuan yang latar belakang pengamalan Islamnya masih belum teratur sepenuhnya. Misalnya, tudungnya sendiri masih singkat atau jarang; maka fokuskan terlebih dahulu pada proses 'penyempurnaan' pemakaian tudung. Di kalangan umat manusia, pemahaman terhadap anutan yang suci ini adalah berbeza-beza. Adalah tindakan yang kurang tepat sekiranya kita melabelkan bahawa semua muslimah perlu bertudung labuh, berjubah dan lengkap berstokin. Sememangnya ini adalah ciri-ciri penutupan aurat yang paling ideal, namun tidak bermakna kumpulan selain dari mereka ini perlu dipandang serong.
Da'wah Rasulullah s.a.w telah mendidik kita untuk memberi khidmat (dengan tujuan untuk menimbulkan kesedaran) dari terus menghukum begitu begini. Siapa yang tidak boleh lupa akan indah nian sikap Rasulullah s.a.w yang tanpa jenuh menyuap makanan ke mulut wanita tua berbangsa Yahudi, walaupun mulut itu juga tidak putus-putus menghina Baginda. Berkat kesabaran Baginda, akhirnya wanita Yahudi itu kembali ke fitrah Islami.
Begitu juga ketika seorang pemuda Arab Badwi yang kencing di perkarangan masjid. Rasulullah Solallahu 'alaihi wassalam tidak pula bertindak dengan menghukum pemuda tersebut. Alangkah penyabarnya Baginda, sewajarnya kita contohi. Baginda adalah contoh da'ie yang paling 'meletup'!
Da'wah secara berperingkat
Merujuk pada Sirah Nabawiyah, betapa Rasulullah Solallahu 'alaihi wassalam telah memfokuskan pada perkara yang menyentuh akidah selama 13 tahun sepanjang Baginda menyebarkan risalah di Makkah Al-Mukarramah. Hanya selepas itu, barulah Baginda berpindah ke perihal hukum-hakam meliputi ibadat, jinayat, munakahat dan muamalat; selama 10 tahun di bumi Madinah Al-Munawwarah.
Corak da'wah Rasulullah s.a.w membuktikan bahawa kepentingan untuk memberi penekanan pada perkara yang asas terlebih dahulu sebelum menuju ke perkara-perkara yang lebih kecil. Jika konsep ini disemai di dalam isu yang dibincangkan kini, seboleh mungkin kita memperbaiki hal-hal yang lebih utama berbanding perkara yang lebih kecil.
Namun, jika semuanya sudah selesai dengan jayanya (penutupan aurat di kalangan muslimah); barulah kita fokus pada perihal stokin.
Pentingnya tarbiah di samping penguatkuasaan peraturan
Undang-undang ialah suatu bentuk perlembagaan yang mampu untuk merubah keadaan luaran, manakala tarbiah pula menitikberatkan proses pengislahan rohani. Kedua-duanya saling melengkapi demi merubah suatu bi'ah menjadi cemerlang dari sudut keIslamannya. Suatu peraturan, jika dipatuhi tanpa rasa sudi yang terbit dari hati; maka akan berlakulah situasi 'aku lakukan semata-mata kerana disuruh oleh pihak tertentu’.
Manakala, jika tarbiah semata-mata tanpa kewujudan undang-undang; usaha merubah sikap terhadap amalan agama akan berlaku secara lembab kerana tidak ada faktor yang memupuknya, atau menyebabkan pelajar berada di zon yang selesa. Kombinasi di antara keduanya perlu diharmonikan, memandangkan dua-dua aspek ini amat penting untuk melahirkan individu yang benar-benar patuh pada arahan Allah Ta'ala secara total. Allahu Ta'ala a'lam. Moga-moga dapat membantu merungkai persoalan aulawiyat (prioriti) dan fiqh da'wah.
Wallahu'alam bissawab...