KALAMULLAH

MUTIARA HADITH

" Dalam riak wajah ada pancaran dakwah.Dalam tutur bicara ada gema tarbiah.Dalam gerak langkah ada semangat mujahidah.
Kita lupakan wajah yang layu, kita tinggalkan bicara yang pilu, kita kuburkan langkah yang lesu.
Bangkitlah perjuangan!
Tatkala yang haq mendabik megah, dan kebatilan akur menyembah...Allah tahu kita pernah menyeka peluh dan air mata demi Islam tercinta”


TEGUHKAN KEIMANAN, TETAPKAN PENDIRIAN.

SEMOGA TERUS THABAT DALAM PERJUANGAN.

Thursday, June 30, 2011

SYAITAN KEJUT BANGUN SUBUH

Hembusan bayu taqwa

Satu hari, akibat keletihan yang amat sangat, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani hampir terlewat bangun tidur walaupun waktu Subuh hampir tiba.


Melihat keadaan itu, syaitan telah menyamar menjadi seekor kucing dan menggigit ibu jari kaki Syeikh Abdul Qadir.Syeikh Abdul Qadir pun terbangun. Mujur waktu Subuh baru sahaja masuk. Dalam pandangan mata, Syeikh dapat melihat syaitan yang berupa kucing itu."Mengapa kau kejutkan aku untuk solat Subuh, padahal kau amat benci kepada orang yang solat?""Aku bimbang sekiranya kau terlewat bangun Subuh," jawab syaitan.


Kehairanan, Syiekh Abdul Qadir lalu bertanya, "Kenapa?"


Syaitan terpaksa menjawab kerana dia takut kepada orang yang takutkan Allah.


"Aku takut jika kau terlewat untuk solat Subuh, kau akan menampung kelewatan itu dengan amalan-amalan yang lain dengan banyak dan lebih serius," kata syaitan.Tambah syaitan itu lagi, "Kau akan bersedekah. Kau akan membantu orang lain. Kau akan mengajar lebih lama. Kau akan membaca al-Quran untuk menampung kesalahanmu yang sedikit. Dengan itu nanti, aku dan kawan-kawanku pula akan bertambah susah. Kerja kami akan bertambah banyak dan sukar. Jadi, lebih baik kamu solat Subuh tepat pada waktunya, dan kami tidak akan terpaksa menghadapi banyak kerja untuk menyekat amalan-amalan baikmu itu nanti!"


Pengajaran :


Begitulah kreatif dan inovatifnya syaitan dalam menyesatkan manusia. Dia bukan sahaja arif tentang amalan baik dan jahat tetapi dia juga arif tentang keutamaan amal.

Tuesday, June 14, 2011

JAMPI BANGSAKU


Bismillahirrahmanirrahim
Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Ribuan tahun punya hak dan pertuanan di sini
Punya kekuatan punya peradaban
Punya kebenaran punya keagungan
Punya ketuhanan punya kebudayaan

Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Akar jiwamu memegang darahku
Batang hatimu menjadi tubuhku
Daun aqalmu melitup zat dan sifatku,
Bangsaku jangan mengubah rupa
Bangsaku jangan meleka sambil melewa
Biarlah utuh diujian sepanjang masa

Hai bangsaku,
Seribu lupa selaksa sedar
Tawarlah segala yang lupa
Dari hikmatan kebendaan dan kepuraan
Dari hikmatan peniruan dan kesesatan
Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan,
Jika bisa pada jiwa tawar pada hati
Bisa pada aqal tawar pada aqal
Tawarlah pada segala wujud keperibadian kita
Pulang pulih seperti keadaan asal

Hai bangsaku aku tahu usulmu
Jatuh di segala ceruk rantau alam ini
Jatuh di utara jatuh di selatan
Jatuh di timur jatuh di barat,
Janganlah pula duduk tunggu, jaga mengilas siku.

Hai bangsaku,
Aku mintamu pindah balik segala kekuatan
Segala peradaban, segala kebenaran
Segala keagungan dan segala-galanya
Memulia dan meneruskan kegemilangan

Biarlah utuh diuji zaman-berzaman
Itulah asalmu tapakmu bersenang
Masa kini dan akan datang,
Aku hendak minta kepadamu
Pulang pulih seperti keadaan asal
Sebab, belum cukup belum genap belum sampai ajal
Bukan kuasa aku tapi dengan kuasa Allah
Berkat kita kata: Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah

Sajak Jampi Bangsaku, Nukilan A. Aziz Deraman

Wednesday, June 8, 2011

MENCABAR POTENSI DIRI DALAM LAPANGAN LATIHAN AMALI


Berbaki tempoh enam bulan untuk menamatkan pengajian Diploma Undang-undang Syariah, satu cabaran perlu ditempuhi oleh ana bagi melengkapkan diri sebagai pemegang diploma dalam bidang professional ini. Berada dalam lapangan latihan amali selama enam minggu, bukanlah satu jangka masa yang cukup baik untuk meraih pengalaman berharga sepanjang bergelar pelajar praktikal. Namun inilah yang dinamakan kesempatan yang munasabah untuk dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Cenderung ke arah perundangan syariah, walaupun pengajian ini major sivil, 60 % dan selebihnya syariah, membawa ana untuk mencabar potensi diri ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus. Lokasi di tengah-tengah Bandar Seremban, bersebelahan Masjid Negeri, Negeri Sembilan yang tersergam putih. Perasaan gugup dan gementar mampu diselindungi tanpa menzahirkannya pada perlakuan. Penyelia Organisasi lalu menempatkan ana bersama seorang lagi sahabat di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Seremban.

Berikut merupakan bidangtugas yang dilakukan ana secara ringkasnya.

1. Membaca fail kes meliputi kes mal dan jenayah syariah.

  • Meneliti penyata tuntutan dan saman bagi kes tuntutan. Manakala bagi kes permohonan pelajar meneliti notis permohonan dan afidavit. Turut membaca penyata pembelaan bagi kes tuntutan.

2. Membaca dan memahami peruntukan undang-undang dalam enakmen-enakmen bagi Negeri Sembilan.

  • Antara enakmen-enakmen tersebut ialah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.

3. Membantu mengendalikan kaunter pendaftaran.

  • Perlu memberikan borang yang sesuai dengan permintaan pelanggan dan menerangkan butiran yang perlu dilengkapkan.
  • Sebelum memproses data pelanggan di dalam sistem, ana perlu memastikan semua maklumat yang diperlukan di dalam borang diisi dengan selengkapnya dan bayaran pendaftaran telah dibuat.

4. Mendaftarkan kes ke dalam sistem E-Syariah.

  • Sesalinan saman diserahkan kepada pihak plaintif/pemohon untuk perhatian tarikh bicara. Tarikh perbicaraan ditetapkan berdasarkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Bagi kes tuntutan hadhanah, tuntutan harta sepencarian, tuntutan nafkah anak, pengagihan kes diletakkan ke Majlis Sulh.

5. Membuka fail kes.

  • Memasukkan borang-borang (penyata tuntutan) yang telah diisi oleh pelanggan beserta ekshibit yang bersesuaian dengan jenis permohonan. Ekshibit perlu ditandatangani oleh hakim atau pendaftar, disusun mengikut tertib dan hendaklah ditandakan. Muka depan fail perlu diisi dengan butiran seperti nama penuh plaintif dan defendan, nombor kad pengenalan, alamat dan tarikh bicara.

6. Mendengar perbicaraan kes.

  • Meneliti proses perbicaraan, prosedur kes.

7. Membantu mengendalikan kes dalam dewan perbicaraan.

  • Membantu hakim (menyediakan fail kes, ikrar, penetapan tarikh perbicaraan seterusnya)

8. Membuat notis sambung bicara.

  • Notis sambung bicara wajib dibuat bagi kes yang tidak dihadiri oleh pihak-pihak yang bertikai.

Demikian adalah sebahagian sahaja bidangtugas utama yang dilakukan ana sepanjang proses mencabar potensi diri dalam lapangan latihan amali. Cukup sebagai gambaran kepada adik-adik dalam jurusan perundangan syariah yang bakal mengikuti latihan amali khususnya di Mahkamah Syariah. Serlahkan potensi seadanya, tingkatkan usaha, kerana kita dinilai oleh penyelia organisasi di sana. Jadi, Selamat Mencabar Potensi Diri, Yakin Diri, Kejayaan Pasti. InsyaAllah.