Berbaki tempoh enam bulan untuk menamatkan pengajian Diploma Undang-undang Syariah, satu cabaran perlu ditempuhi oleh ana bagi melengkapkan diri sebagai pemegang diploma dalam bidang professional ini. Berada dalam lapangan latihan amali selama enam minggu, bukanlah satu jangka masa yang cukup baik untuk meraih pengalaman berharga sepanjang bergelar pelajar praktikal. Namun inilah yang dinamakan kesempatan yang munasabah untuk dimanfaatkan dengan sewajarnya.
Cenderung ke arah perundangan syariah, walaupun pengajian ini major sivil, 60 % dan selebihnya syariah, membawa ana untuk mencabar potensi diri ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Darul Khusus. Lokasi di tengah-tengah Bandar Seremban, bersebelahan Masjid Negeri, Negeri Sembilan yang tersergam putih. Perasaan gugup dan gementar mampu diselindungi tanpa menzahirkannya pada perlakuan. Penyelia Organisasi lalu menempatkan ana bersama seorang lagi sahabat di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Seremban.
Berikut merupakan bidangtugas yang dilakukan ana secara ringkasnya.
1. Membaca fail kes meliputi kes mal dan jenayah syariah.
- Meneliti penyata tuntutan dan saman bagi kes tuntutan. Manakala bagi kes permohonan pelajar meneliti notis permohonan dan afidavit. Turut membaca penyata pembelaan bagi kes tuntutan.
2. Membaca dan memahami peruntukan undang-undang dalam enakmen-enakmen bagi Negeri Sembilan.
- Antara enakmen-enakmen tersebut ialah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.
3. Membantu mengendalikan kaunter pendaftaran.
- Perlu memberikan borang yang sesuai dengan permintaan pelanggan dan menerangkan butiran yang perlu dilengkapkan.
- Sebelum memproses data pelanggan di dalam sistem, ana perlu memastikan semua maklumat yang diperlukan di dalam borang diisi dengan selengkapnya dan bayaran pendaftaran telah dibuat.
4. Mendaftarkan kes ke dalam sistem E-Syariah.
- Sesalinan saman diserahkan kepada pihak plaintif/pemohon untuk perhatian tarikh bicara. Tarikh perbicaraan ditetapkan berdasarkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran. Bagi kes tuntutan hadhanah, tuntutan harta sepencarian, tuntutan nafkah anak, pengagihan kes diletakkan ke Majlis Sulh.
5. Membuka fail kes.
- Memasukkan borang-borang (penyata tuntutan) yang telah diisi oleh pelanggan beserta ekshibit yang bersesuaian dengan jenis permohonan. Ekshibit perlu ditandatangani oleh hakim atau pendaftar, disusun mengikut tertib dan hendaklah ditandakan. Muka depan fail perlu diisi dengan butiran seperti nama penuh plaintif dan defendan, nombor kad pengenalan, alamat dan tarikh bicara.
6. Mendengar perbicaraan kes.
- Meneliti proses perbicaraan, prosedur kes.
7. Membantu mengendalikan kes dalam dewan perbicaraan.
- Membantu hakim (menyediakan fail kes, ikrar, penetapan tarikh perbicaraan seterusnya)
8. Membuat notis sambung bicara.
- Notis sambung bicara wajib dibuat bagi kes yang tidak dihadiri oleh pihak-pihak yang bertikai.
Demikian adalah sebahagian sahaja bidangtugas utama yang dilakukan ana sepanjang proses mencabar potensi diri dalam lapangan latihan amali. Cukup sebagai gambaran kepada adik-adik dalam jurusan perundangan syariah yang bakal mengikuti latihan amali khususnya di Mahkamah Syariah. Serlahkan potensi seadanya, tingkatkan usaha, kerana kita dinilai oleh penyelia organisasi di sana. Jadi, Selamat Mencabar Potensi Diri, Yakin Diri, Kejayaan Pasti. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment